Jumaat, 7 Mac 2014

[MISTERI] RIBUAN ULAT MENYERANG KAMPUNG KUAR BAHRU, TUMPAT

NOOR Azila Yaso membersihkan rumahnya yang dipenuhi ulat di Kampung Kuar Bahru, Genting, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, semalam. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH

TUMPAT 6 Mac - Tiga buah keluarga di Kampung Kuar Baru, Genting, dekat sini hidup dalam keresahan dan ketakutan selepas rumah mereka diserang ribuan ulat sejak empat hari lalu.

Penduduk mendakwa, bilangan ulat tersebut bertambah dari hari ke hari menyebabkan mereka terpaksa menutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan haiwan berkenaan masuk ke dalam rumah.

Wakil penduduk, Noor Azila Yaso, 30, berkata, serangan ulat misteri yang tidak pernah dilihat tersebut menjejaskan aktiviti hariannya dan keluarga yang bimbang boleh memudaratkan kesihatan mereka semua.

Menurutnya, tidur mereka sekeluarga pada waktu malam turut terjejas kerana bimbang haiwan berkenaan merayap masuk ke dalam bilik tidur.

"Saya tidak tahu ulat ini datang dari mana. Bagi mengelakkan ia masuk ke dalam rumah, kami terpaksa menutup semua pintu dan tingkap termasuk menutup semua lubang yang ada menggunakan kain," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ribuan ulat memenuhi kawasan dan dinding rumah penduduk di kawasan berkenaan menyebabkan kesemua tingkap dan pintu rumah ditutup rapat.

Seorang lagi penduduk, Zuriati Zaini, 28, berharap pihak berkuasa mencari jalan untuk membantu penduduk menghapuskan ulat-ulat berkenaan.

"Saya merayu kepada pihak berkenaan supaya tampil membantu kami menyelesaikan masalah ulat misteri ini secepat mungkin kerana hidup kami tidak tenang sejak empat hari lalu," ujarnya.

Sementara itu Ketua Pergerakan Puteri UMNO Tumpat, Norazita Ismail yang turut meninjau kawasan berkenaan ketika ditemui berkata, beliau akan memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak berkenaan secepat mungkin bagi melakukan tindakan susulan untuk menghapuskan haiwan tersebut.

Katanya, langkah segera perlu diambil kerana jika dibiarkan, ulat-ulat tersebut dikhuatiri menyerang kawasan berhampiran yang dihuni kira-kira 100 keluarga lain sekali gus memudaratkan kesihatan penduduk.

sumber utusan

1 ulasan: