Selasa, 12 Julai 2016

HASUTAN MEMBAWA KEHANCURAN


Pertelingkahan dalam sesebuah keluarga lazimnya disebabkan oleh gejala hasut menghasut di kalangan anggota masyarakat. Situasi yang sama juga berlaku pada sesebuah negara.

Gejala menghasut ini bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia mampu merosakkan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Di Malaysia, Akta Hasutan (Akta 15) mula digubal pada 1948 ketika era penjajahan British mengawal dan menentang ancaman komunis. Ancaman komunis menghasilkan darurat dan menghalang tuntutan rakyat mencapai kemerdekaan dari British.

Akta ini dikekalkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa terutama setelah berlakunya rusuhan kaum di Singapura (1964) dan Kuala Lumpur (1969).

Walaupun negara sudah merdeka sejak sekian lama, masih ada segelintir rakyat yang tidak memahami erti perpaduan dan keharmonian apabila dengan sengaja mencetuskan pelbagai isu sensitif yang menimbulkan kemarahan masyarakat dan golongan lain.

Menjelang Ramadhan 1434H (Julai 2013), sepasang blogger telah mengundang kemarahan orang ramai apabila memuatnaik sekeping gambar di laman sosial Facebook dengan kapsyen ‘Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh…fragrant, delicious and appetising)’ yang mengandungi logo halal.

Insiden yang mengundang kemarahan orang ramai dengan cara hasutan sebegini berulang lagi sehari sebelum sambutan Eidul Fitri yang laku. Seorang Ahli Parlimen dipercayai memuatnaik status berbaur penghinaan dan memperlekehkan pemberian duit raya di laman sosial Facebook.

Berdasarkan peruntukan undang-undang, Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika seseorang itu disabitkan kesalahan oleh mahkamah kerana menghasut.

Selain itu, Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan juga ada menyatakan bahawa seseorang Ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih dari RM2,000.

Akhir November 2014, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah pernah mengesyorkan agar pindaan itu tidak memperuntukkan hukuman denda semata-mata, sebaliknya hukuman penjara lebih berat, tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun.

Akta Hasutan 1948 ini pernah dilabel sebagai akta lapuk dan tidak relevan. Namun, bagi memelihara keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum, ia dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi memperkukuh dan menguatkan lagi Akta tersebut.

YAB Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengatakan, kedua-dua peruntukan khas itu bertujuan melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Timbul juga persoalan, sampai bilakah golongan kecil rakyat Malaysia yang suka menghasut ini dapat mendalami dan memahami maksud sebenar perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk?


Sumber : https://www.facebook.com/friendsofkedaulatan/photos/a.985704631515940.1073741828.852358461517225/1034445286641874/?type=3&notif_t=like&notif_id=1468288186546644

Tiada ulasan:

Catat Ulasan