Selasa, 27 September 2016

PERPERANGAN SAUDARA SUDAH BERLAKU DI DALAM PARTI BUNGA

Ahli dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru 3 minggu didaftarkan dilaporkan mula tidak menyenangi sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa suka membuat keputusan bersendirian.

Bercakap kepada FMT, sumber itu berkata ramai ahli menuduh presiden PPBM itu menganggap parti itu milik persendiriannya.

Mereka juga kecewa bekas timbalan perdana menteri itu yang tidak mahu berbincang dengan beberapa pemimpin utama, termasuk bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, di samping sikapnya mengenepikan “orang Mahathir”.

Sumber tersebut berkata kedua-dua Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz semakin tidak berpuas hati dengan cara Muhyiddin yang tidak berbincang dengan mereka sebelum melantik beberapa penjawat parti.

“Muhyiddin mahu mengawal parti itu keseluruhannya,” katanya.

“Beliau mengenepikan semua penyokong Mahathir dalam parti.”

Sebelum ini, ketua sayap wanita PPBM, Anina Saadudin menepis dakwaan parti baharu itu lesu dengan tidak ada kegiataan rancak menambah bilangan ahli, selepas didaftarkan awal bulan ini.

Sumber juga mendakwa Muhyiddin kelihatan masih berfikiran seperti Umno dan belum berubah, malah tidak selesa berdampingan dengan pembangkang, khususnya DAP.

Ia menimbulkan tanda tanya sama ada PPBM di bawah kepimpinannya mampu mengadakan persefahaman dengan parti pembangkang lain menjelang pilihan raya umum ke-14.

Penyokong Dr M kecewa

Rasa tidak senang itu bakal memburukkan keadaan, menurut sumber kepada FMT, dan Muhyiddin juga berdepan serangan daripada pemimpin PPBM lain termasuk mereka yang sebelum ini terlibat dalam Deklarasi Rakyat.

“Pemberontakan besar-besaran bakal meletus dalam PPBM,” dakwanya.

Sumber itu berkata corak kepimpinan Muhyiddin mengganggu perpaduan PPBM dan turut mengecewakan penyokong tegar Dr Mahathir seperti bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Malah, ia berpendapat Khairuddin mungkin akan menyertai PKR atau DAP meneruskan perjuangannya menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Beliau juga berhasrat membebaskan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berusaha menyatukan kembali Dr Mahathir” bersama Anwar dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Khairuddin juga dikatakan tidak setuju Dr Mahathir, yang merupakan pengerusi PPBM, yang dilihat terlalu bertolak ansur dengan Muhyiddin.


1 ulasan:

  1. Angkara din panadol lah ramai guru tak menyukai kerajaan dgn kaedah penilaian pbs online.Apabila ada guru yg tidak berpuashati secara terbuka..mrk dilanyak sehingga ada yg diarahkan berhenti.Baru jadi menteri dan tpm dah mengamalkan kuku besi.Ntah apa akan berlaku jika berpeluang jadi pm.Mgkin mengalahkan mahdey dlm pentadbiran kuku besinya...

    BalasPadam