PKR Memandai-mandai Umum Nama Calon Perdana Menteri kata Armada PPBM

3:57:00 PTG headbomb 1 Comments


Hubungan dua parti Pakatan Harapan (PH) dijangka semakin keruh selepas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar tindakan PKR yang dianggap “tidak sensitif” dalam isu perdana menteri gabungan pembangkang itu.

Syed Saddiq berkata tindakan PKR pada kongres parti itu di Shah Alam, beberapa hari lalu, jelas cuba memerangkap Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersetuju dengan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri pilihan pembangkang.

Melalui surat terbuka kepada PH hari ini, Syed Saddiq meminta semua kepimpinan dalam pembangkang agar tidak terlalu taksub sehingga sanggup membelakangkan undang-undang dan strategi untuk memenangi pilihan raya kerana ingin menamakan individu tertentu sebagai ketua.

“Janganlah taksub sampai soal perlembagaan, undang-undang dan strategi memenangi pilihan raya dikebelakangkan kerana ketaksuban sesetengah pihak.

“Ketaksuban ini sampai ke satu tahap di mana rakan seperjuangan di ‘ambush’ semasa Kongres PKR,” tulis Syed Saddiq.

Tambah Syed Saddiq, kejadian Ahad lalu dianggap seolah-olah cuba memalukan Mahathir dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila ratusan perwakilan dan kepimpinan PKR dilihat bersorak sambil membawa sepanduk “Anwar PM Ke-7”.

“Apakah motif tindakan tersebut? Adakah suatu kepuasan dan kebanggaan bagi mereka di sebalik tindakan ini yang dapat memalukan Tun, Muhyiddin dan PPBM? Adakah mereka merasakan sokongan rakyat khususnya orang Melayu akan bersama mereka dengan perlakuan sebegitu yang mampu mencalar keutuhan bersama dalam Pakatan?” soal Syed Saddiq dalam surat terbukanya.

Menurut Syed Saddiq, penentuan calon perdana menteri PH boleh selesaikan melalui bancian atau undian badan bebas dan tidak sewajarnya dilakukan mengikut kapasiti parti.

“Menggunakan strategi ini bolehlah kita mengenal pasti siapakah pemimpin wibawa yang menjadi harapan rakyat ketika ini dan dijadikan garis panduan dalam perbincangan Pakatan Harapan untuk siapa yang lebih layak menerajui Malaysia,” tulisnya.

Melalui surat terbukanya juga, Syed Saddiq berkata bahawa Mahathir meletakkan perpaduan sebagai asas kekuatan kepada parti pembangkang, malah sanggup mendiamkan diri mengenai soal calon perdana menteri walaupun sebelum ini pernah mencadangkan nama Muhyiddin.

“Namun apa yang berlaku di Kongres PKR adalah amat sedih dan mengecewakan sekali. Dr Mahathir dan PPBM jelas diserang, kongres yang seharusnya mampu dijadikan medan penyatuan untuk mengikat jiwa yang terpisah bertukar menjadi medan melempias kekecewaan dan kemarahan lampau tanpa sedikit pun memikirkan soal sensitiviti semasa dalam misi bersama dalam Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya,” tulisnya lagi.

Ketua Armada itu turut mempersoalkan mengenai keikhlasan PKR untuk bersama PPBM dalam sebuah pakatan menilai dari tindakan parti itu dalam kongresnya Ahad lalu.

“Adakah mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan PPBM? Sejauh mana keikhlasan mereka menerima PPBM dalam Pakatan Harapan?

“Tapi semua itu seakan tidak dihiraukan apabila kepimpinan tertinggi PPBM ini seakan ‘dipaksa’ dan ‘diperangkap’ untuk menyatakan pendirian atas sokongan kepada Wan Azizah dan Anwar Ibrahim selaku perdana menteri Malaysia ke-7 walhal tiada sebarang perbincangan apatah lagi kesepakatan yang dicapai mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri.”

Beliau turut meminta agar PKR untuk melupakan sengketa lama dan memberi fokus kepada memenangkan PH dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kita hanya mewarisi pertelingkahan silam yang cukup menghukum rakyat, namun adakah kita sanggup untuk membiarkan rakyat menderita kerana kesalahan lalu dan kelemahan kita masa kini hinggakan Umno mampu terus berkuasa. Ini bukan lagi salah Umno,” tulis Syed Saddiq.

1 ulasan: