Proton,

Tony Pua Balun Mahathir Perihal Proton?

7:23:00 PTG headbomb 0 Comments

‘KERETA KEBANGSAAN’ TIDAK BERI NILAI TAMBAH EKONOMI NEGARA, KATA DAP

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, hari ini, meluahkan rasa tidak setuju dengan pendekatan diambil pengasas Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang membantah pengambilalihan 49.9 peratus saham syarikat kereta itu oleh gergasi otomobil China, Geely.

Sambil menyifatkan pendekatan Mahathir untuk terus mengekalkan label ‘kereta kebangsaan’ sebagai kurang tepat, Pua beranggapan bahawa Proton masih tidak mampu terus bersaing dalam pasaran terbuka automotif negara.

Kata Pua lagi, dengan pelbagai kelebihan diberikan selama ini kepada Proton, syarikat automobil itu dilihat masih keterbelakang dan gagal menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara.

“Sebuah ‘kereta kebangsaan’ tidak menambah nilai ekonomi sesebuah negara sekiranya ia tidak dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang cukup dan industri yang berdaya saing,” katanya.

Tambah Pua, seharusnya semua pihak sedang memikirkan mengenai bentuk pelaburan dan pulangan yang bakal dibawa Geely ke dalam Proton bagi memajukan syarikat otomobil tempatan itu.

Sehingga kini, beliau masih kabur dengan bentuk dan jumlah pelaburan yang bakal dibawa masuk Geely ke negara ini, walaupun beliau bersetuju bahawa gergasi otomobil China itu dapat memberikan peluang pekerjaan dan industri lebih berdaya saing kepada Proton.

Menurut Pua lagi, pembelian saham Proton itu memberi lebih banyak kelebihan kepada Geely memandangkan kerajaan bakal menyuntik dana RM1.35 bilion ke dalam syarikat otomobil itu.

“Maksudnya, Geely sebenarnya sekadar membayar RM170 juta bagi memperolehi kepentingan 49 peratus dalam sebuah syarikat bakal menerima suntikan tunai daripada kerajaan sebanyak RM1.35 billion!” kata Pua dalam kenyataan medianya hari ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu turut mengkritik tindakan kerajaan menyuntik dana ke dalam Proton yang merupakan anak syarikat kepada DRB-Hicom.

“Apa gunanya menswastakan Proton dengan menjual kepentingannya kepada DRB-Hicom apabila akhirnya kerajaan terus ‘membiayainya’ bagi tujuan kelangsungan syarikat itu?” soalnya.

Minggu lalu, DRB-Hicom mencapai persetujuan untuk menjual 49.9 peratus pegangan saham dalam Proton Holdings kepada Zhejiang Geely Holding Group – yang sebelum ini mengambil alih Volvo dari Sweden – termasuk membolehkan Geely memiliki kepentingan 51 peratus dalam syarikat pembuat kereta Britain, Lotus.

Proton yang ditubuhkan pada 1983 sebagai syarikat otomobil pertama tempatan dihimpit masalah kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun mendapat sokongan dan bantuan kerajaan.

Pada 2001, Proton menguasai bahagian pasaran sebanyak 53%, tetapi merosot kepada 14% tahun lalu, disebabkan peningkatan populariti kereta import dan aduan mengenai mutu pembuatan kereta itu.

0 ulasan: