Khamis, 14 September 2017

DIMANAKAH LETAKNYA KELUHURAN PERLEMBAGAAN? oleh Dr RG


VIDEO tertular melalui internet (http://babab.net/…/insiden-steering-lock-wanita-mengamuk-ta…) yang boleh diakses melalui telefon bimbit membuatkan kita terpanggil untuk memikirkan persoalan di manakah ahli masyarakat kita atau rakyat keseluruhannya meletakkan prinsip Rukun Negara khususnya “Keluhuran Perlembagaan”.
Video menunjukkan seorang wanita penuh emosi menjerit-jerit menegakkan benang basah dengan memegang besi pengunci stereng seakan-akan mahu membelasah pegawai penguat kuasa, sedangkan dia lupa bahawa undang-undang harus dihormati dan dipatuhi.
Kelihatannya seperti ada antara kita yang cenderung memilih untuk menjadi masyarakat anarkis iaitu satu fenomena masyarakat yang menolak undang-undang.
Apakah masyarakat kita masih rendah tamadunnya sehingga tidak dapat menerima undang-undang sebagai suatu mekanisme untuk menjaga keharmonian rakyat serta keselesaan hidup.
Agak aneh pula apabila diselak kes-kes kebiadapan awam terhadap pihak penguat kuasa ini lebih banyak tertumpu pada kaum tertentu yang tersohor kerana kehebatan ekonomi mereka dalam bidang perniagaan. Sila lawat laman–laman berikut (sekadar beberapa contoh):
Kita tidak boleh bersikap rasis dengan membuat generalisasi terhadap sikap biadap itu dengan menuding jari hanya kepada satu kaum tertentu sahaja. Walau bagaimanapun seperti yang ditularkan, kaum inilah yang kerap kalinya menunjukkan sikap biadap mereka terhadap pihak berkuasa.
Rentetan sedemikianlah yang mengacau fikiran saya apabila rakan saya sendiri menghadapi kes biadap kaum tersebut ketika dia memparkir keretanya menyekat belakang kereta rakan saya berhadapan Digital Mall Petalingjaya pada suatu hari Jumaat sehingga kami terlepas solat Jumaat.
Kami cuba mengawal kemarahan, namun apa yang bergejolak di hati kami telah dikongsi oleh masyarakat keliling yang kemudiannya turut memaki hamun seorang lelaki kaum berkenaan, pemilik kereta yang menyekat itu.
Salah seorang lelaki yang menunjukkan empatinya terhadap kami ialah lelaki India yang bertugas sebagai pengawal di salah satu premis di situ yang bersungguh-sungguh memarahi pemilik kereta berkenaan.
Saya tidak mahu mengambil kesempatan di ruang ini untuk menghina atau mengeji sesiapa, tetapi saya percaya bahawa pegangan kita terhadap prinsip Rukun Negara khususnya Keluhuran Perlembagaan telah perlahan-lahan cair.
Malah saya percaya bahawa ramai antara generasi baru negara ini yang lewah dirangsang oleh politik perkauman telah mengabaikan secara tuntas prinsip-prinsip Rukun Negara, atau dengan kata-kata lain secara senyap rasa cinta terhadap negara telah luntur.
Lihat sahaja ketika negara menyambut hari Kemerdekaan yang lalu apabila kita dapat memerhatikan bahawa reaksi menaikkan Jalur Gemilang di rumah-rumah sudah hambar, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya suatu ketika dahulu.
Rasanya seperti ada suatu gelombang bawah sedar yang telah menghakis rasa cinta kepada negara sehingga perundang-undangan yang cuba ditegakkan dan dilaksanakan oleh pihak penguat kuasa dilihat sebagai suatu tindakan liar yang tidak perlu mereka patuhi.
Kita harus sedar sesedarnya bahawa masyarakat kita adalah masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya. Situasi sensitiviti kaum sesama kita amat kuat, tetapi rapuh.
Sebagaimana yang dipercayai oleh politikus Teik, G.C. (1978) bahawasanya kegagalan integrasi nasional akan membawa akibat buruk terhadap keharmonian negara sebagaimana bom jangka yang boleh meletup bila-bila sahaja.
Bom jangka ini bertambah mudah meletup apabila Keluhuran Perlembagaan yang kita pegang selama ini, dicampakkan begitu sahaja ke longkang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan